Penyerang muda Harimau Malaya, Fergus Tierney kini sah bersama pasukan Sabah untuk musim hadapan.
Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran oleh pihak pengurusan Sabah di media sosial yang memperkenalkan Fergus Tierney sebagai penyerang baharu pasukan Sang Badak.
”Selamat datang ke Negeri Di Bawah Bayu, Fergus Tierney,” umum Sabah FC.
“Sambut penyerang baharu kami yang sertai skuad selepas menamatkan tempoh pinjamannya bersama Nakhon Pathom United dan sebelum ini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).”
Musim lalu, Fergus Tierney berkelana secara pinjaman ke Thailand bersama kelab Chonburi dan Nakhon Pathom sebelum kembali ke pangkuan pasukan asal, JDT.
Sepanjang di Thailand, pemain berusia 22 tahun ini telah merekodkan 25 penampilan bersama Chonburi dan Nakhon Pathom serta berjaya meledak 4 gol dengan 3 daripadanya bersama The King Tigers.
Kini, Fergus mengambil keputusan untuk bersama pasukan Sabah dan bakal bersaing merebut tempat bersama Darren Lok dan penyerang import baharu, Ajdin Mujagic.