Sabah FC menambah kekuatan pasukan itu dengan memuktamadkan tiga perpindahan pemain import.
Sang Badak berjaya mendapatkan khidmat jeneral tengah Australia, Dean Pelekanos, bek kanan New Zealand, Dane Ingham dan penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Mujagic.
Perpindahan trio tersebut diumumkan pengurusan Sabah di platform rasmi mereka hari ini.
Ini dilihat sebahagian daripada usaha jurulatih pasukan, Martin Stano memantapkan pasukan itu bagi menghadapi kempen musim 2025/26.
Mujagic dilihat pengganti bagi penyerang Brazil, Joao Pedro. Penyerang berusia 27 tahun itu memiliki rekod baik dengan meledakkan 15 gol buat kelab lamanya, NK BSK Bijelo Brdo.
Mujagic juga memiliki rekod jaringan yang baik iaitu 22 gol semasa bersama NK Zvijezda Gradacac dan TOSK Tesanj.
Pelekanos dan Ingham pula masing-masing tiba dari saingan A-League. Kedua-duanya berstatus ejen bebas selepas dilepaskan Western Sydney Wanderers dan Newcastle Jets.
Pelekanos dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Korea Selatan, Ko Kwang-min dan Telmo Castanheira. Ingham pula bakal bersaing dengan Miguel Cifuentes untuk slot bek kanan.
Selain trio ini, Sang Badak turut merekrut bekas pemain pertahanan PDRM FC, Badrul Affendy Mohd Fadzli dan Maxsius Musa.