Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mendedahkan barisan pemain KL City FC tidak mendapat gaji untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kempen Liga Super musim 2024/25 menyaksikan pasukan itu merekodkan satu kemenangan, satu kekalahan dan satu keputusan seri meskipun dibelenggu isu tunggakan gaji. Kemenangan pertama mereka dicapai apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 3-0 pada 21 Jun lalu.
Walau bagaimanapun, hajat finalis Piala FA 2023 itu mara ke suku akhir Piala FA 2024 tidak kesampaian. Ini selepas The City Boys disingkirkan Kuching City FC dalam pusingan 16 pasukan terbaik.
Khalid berusaha membawa isu ini kepada pengetahuan pihak-pihak yang berkenaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut memaklumkan disebabkan isu ini juga, pemain-pemain yang baru pulang menjalani tugasan Harimau Malaya terpaksa meraikan Aidiladha secara sederhana.
Meskipun begitu, pemain-pemain The City Boys berusaha memberikan yang terbaik terutama bila dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada Jun lalu.
“Saya sudah sampaikan kepada PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya sudah sampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Dr Zaliha Mustafa), saya sudah sampaikan kepada Datuk Bandar (Kuala Lumpur).
“Saya kata, ‘Para pemain baru balik dari tugasan kebangsaan, main untuk Malaysia. Balik-balik Raya Haji, tiada duit. Nak raya macam mana.'” katanya kepada media.
Khalid turut berkongsi kisah sebenar di sebalik isu tunggakan gaji yang dibangkitkan kapten KL City, Paulo Josue. Beliau memaklumkan itu sebenarnya isu teknikal kerana kontraknya dimeterai sebelum perubahan kalendar liga dibuat.