Advertisement
Khon Kaen Sekat Hajat Dion Cools & Buriram Raih Kemenangan Pertama
Asia Tenggara
MakanBola
Buriram United

Bek tengah Malaysia, Dion Cools gagal membantu juara treble Thailand musim lepas, Buriram United meraih kemenangan pertama Thai League 1 musim 2023-2024 selepas diikat 0-0 dengan Khon Kaen United.

Walaupun tewas kepada Bangkok United dalam aksi Thailand Champions Cup baru-baru ini, Thunder Castle masih dianggap pasukan pilihan untuk saingan liga musim ini.

Dengan Khon Kaen dianggap lawan lemah lebih-lebih lagi selepas dibelasah 4-0 oleh Buriram dalam aksi pra-musim pada 30 Julai lalu, ramai menjangkakan kemenangan mudah buat pelawat.

Bagaimanapun, sangkaan mereka meleset sebaik sepak mula. Khon Kaen yang dibimbing Patipat Robroo kental menyerap asakan Buriram diketuai penyerang Lonsana Doumbouya.

Malah, tuan rumah hampir mendahului Thunder Castle pada minit ke-42 apabila dianugerahkan sepakan penalti oleh VAR. Bagaimanapun, harapan penyokong The King Cobras punah apabila penalti Brenner berjaya dinafikan penjaga gol pelawat, Suwarak Tedsungnoen.

Bersambung pada babak kedua, Thunder Castle terus bergelut mencari peluang menembusi gawang tuan rumah yang dikawal Chirawat Wangtaphan. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini meletakkan Buriram dan Khon Kaen masing-masing di tangga keenam dan ketujuh Thai League 1. Biarpun seri, Cools boleh menghela nafas lega kerana pertahanan Buriram masih belum dibolosi selepas perlawanan pembukaan.