Bekas pemain beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat belum memutuskan sama ada untuk kekal bersama England atau tidak.
Sebelum ini, Kien Keat menerima tawaran Badminton England (BE) untuk melatih barisan beregu negara itu sebagai jurulatih sementara.
Justeru, tempoh sebulan dimanfaatkan beliau untuk melatih barisan beregu England termasuk beregu ke-11 dunia, Ben Lane dan Sean Verdy.
Apabila ditanya sama ada beliau bersedia untuk menggalas peranan sebagai jurulatih England secara tetap, Kien Keat memaklumkan beliau akan pulang ke Malaysia selepas tugasnya tamat.
Pada masa sama, beliau melihat ini sebagai satu tempoh yang baik untuk melihat sama ada dirinya sesuai bergelar jurulatih atau tidak.
“Tiada keputusan yang berubah. Lepas habis sebulan, balik ke Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“Saya juga dapat pergi ke kejohanan bertaraf senior dan minggu depan, pergi ke kejohanan bertaraf junior pula.
“Jadi, ini satu ujian kepada diri saya sendiri sebenarnya sama ada saya sesuai sebagai jurulatih (atau tak).”
Kien Keat pernah bergelar beregu nombor satu dunia bersama rakan gandingan, Tan Boon Heong. Mereka pernah meraih beberapa gelaran termasuk All England Open 2007.