Kim Pan-gon Akui Kuching City Lawan Sukar
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui Kuching City sebagai pencabar yang sukar.

Hal ini dinyatakan beliau selepas Selangor merekodkan kemenangan 1-0 ke atas anak buah Aidil Sharin Sahak itu di Stadium MBPJ.

Pan-gon mengakui jentera serangan Selangor berdepan kesukaran menembusi gawang Kuching City yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.

Selain itu, The Cats juga dilihat kerap mencemaskan benteng Selangor diketuai Safuwan Baharudin menerusi serangan balas pantas.

“Ia satu perlawanan yang sukar. Kuching City biasanya menyerang tetapi pada hari ini, mereka dilihat lebih pasif (bertahan) daripada kita.

“Ianya sukar untuk mencipta peluang menjaringkan gol. Ada beberapa peluang pada separuh masa pertama tetapi kesungguhan itu tidak ada.

“Pada separuh masa kedua, kita sedikit bergelut. Kuching City mampu melancarkan serangan balas yang bagus seperti yang kita ketahui,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Meskipun begitu, Pan-gon memuji kesungguhan anak buahnya berjuang mendapatkan kemenangan sehingga tamat 90 minit perlawanan.

“Tapi saya fikir pemain kita memiliki keazaman yang baik pada separuh masa kedua. Dan sehingga minit terakhir perlawanan, kita juga mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya fikir itu sesuatu yang bagus. Saya harga usaha, kekuatan mental dan semangat kerjasama semua pemain,” tambahnya.

Kemenangan ini menyaksikan Selangor memperkukuh cengkaman tempat kedua dengan 35 mata. Kuching City pula jatuh di tangga keempat dengan 31 mata.