Liga Super: Selangor ‘Hukum’ Kuching City
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor menumpaskan pasukan Kuching City dengan keputusan 1-0 dalam aksi minggu ke-18 saingan Liga Super musim 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Selangor membariskan Kalamullah Al-Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan.

Sementara itu, Kuching City menurunkan Haziq Nadzli di posisi penjaga gol dan Ronald Ngah Wanja mengemudi jentera serangan The Cats.

Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang The Cats pada awal minit babak pertama.

Chrigor Moraes melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke-25 namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang Kuching City.

Ramadhan Saifullah hampir meletakkan The Cats berada di hadapan pada minit ke-27 namun gerakan beliau berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Selangor.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun Selangor tampak menguasai perlawanan separuh masa pertama.

Empat minit masa tambahan gagal dimanfaatkan kedua-dua pasukan, dan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Gergasi Merah dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol pembukaan, sambil mendapat sorakan padu daripada ribuan penyokong setia di gelanggang sendiri.

Kedua-dua kelab saling berbalas serangan berbahaya pada awal babak kedua perlawanan, namun jaringan pembukaan masih belum berjaya dihasilkan.

Chrigor Moraes terus-menerus melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Haziq Nadzli, namun ketangkasan penjaga gol itu sekali lagi wajar diberikan pujian.

Kuching City dilihat melakukan 4 pertukaran pada penghujung separuh masa kedua dengan mengeluarkan Jordan Mintah, Rodney, Moses & Ramadhan Saifullah dan memasukkan Alif, Israiwah, Danial Asri & Jimmy Raymond bagi mencari gol pembukaan di halaman lawan.

Chrigor Moraes berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-86 selepas kesilapan benteng pertahanan The Cats sekali gus menceriakan ribuan penyokong & kem pasukan The Red Giants.

Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan percubaan satu lawan satu oleh Chrigor Moraes pada masa kecederaan separuh masa kedua, sekali gus memastikan defisit jaringan kekal satu gol.

Aksi Gergasi Merah & Kuching City tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor FC.