Advertisements
Kim Pan-gon Bakal Jurulatih Baru Harimau Malaya?
Harimau Malaya
MakanBola
Edward Wong/South China Morning Post

Sebelum ini, khabar angin bertiup menyatakan beberapa nama dicanang sebagai pengganti Tan Cheng Hoe di Harimau Malaya. Antara nama yang dicadangkan ialah Bojan Hodak, Kiatisuk Senamuang dan Mehmet Durakovic. Tetapi mengikut khabar angin terbaru, bekas jurulatih Hong Kong Kim Pan-gon kini dilihat sebagai pilihan utama mengisi jawatan itu.

Pan-gon ketika ini merupakan Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan. Sebelumnya, beliau pernah menjadi jurulatih Hong Kong selama lima tahun dari 2012 hingga 2017. Sekiranya berita ini sah menjadi kenyataan, maka Harimau Malaya bakal mendapat jurulatih pertama dari Korea Selatan sejak tahun 1963.

Pan-gon dikenali kerana menerapkan mentaliti biar putih tulang, jangan putih mata dalam pasukan bimbingannya. Mentaliti ini membantu Hong Kong melakar pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa biarpun berstatus pasukan bukan pilihan. Selain itu, Pan-gon turut mengingatkan para pemain bahawa menyarung jersi pasukan kebangsaan merupakan satu penghormatan. Dan satu-satunya cara menunjukkan penghormatan itu ialah dengan beraksi baik di atas padang.

Akhbar Harian Metro sebelum ini melaporkan Persatuan Bola Sepak (FAM) sedang mencari jurulatih dari rantau Asia Timur sebagai pengganti Cheng Hoe. Ini kerana jurulatih dari rantau tersebut memahami budaya orang tempatan dan menerapkan elemen disiplin dalam pasukan. Andainya perlantikan Pan-gon menjadi kenyataan, FAM akan mengikut jejak langkah Indonesia, Singapura dan Kemboja yang melantik jurulatih dari rantau Asia Timur.