Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilihat serius untuk mengubah hala tuju bola sepak negara apabila kelibat beliau dan barisan kejurulatihannya seringkali dilihat memantau persembahan para pemain tempatan di stadium.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh pasukan Sri Pahang, Pan-gon dilihat berada di Stadium Darul Makmur malam semalam untuk menyaksikan pertembungan yang melibatkan tuan rumah menentang pasukan PJ City FC.
Malah, kehadiran jurulatih berusia 52 tahun itu bukanlah sekadar menjadi penonton dan ’makan angin’, kelibatnya yang sedang bertungkus-lumus untuk mencatat dan meneliti prestasi para pemain tempatan seharusnya dipuji.
Berdasarkan gambar tersebut, jurulatih kelahiran Korea Selatan ini sedang meneliti data setiap pemain yang berada dalam simpanannya sambil dibantu oleh dua orang pembantunya termasuklah E. Elavarasan yang gigih memerhati data-data mengenai para pemain.
Hal ini jelas menunjukkan komitmen, kesungguhan dan juga usaha yang dilakukan oleh Pan-gon untuk mengubah dimensi bola sepak tempatan.
Malah, kedua-dua pasukan yang bersaing ini juga secara umum diketahui mempunyai sebilangan pemain tempatan yang amat berkualiti di samping kelibat pasukan PJ City yang mempertaruhkan sepenuhnya kudrat pemain tempatan sudah pasti bakal meraih perhatian Pan-gon.
Hal ini secara hakikatnya memberi kelebihan buat beliau untuk menilai dan mencungkil lebih ramai bakat tempatan yang berkualiti untuk dibawa ke kelayakan Piala Asia, Jun nanti.
Data dan analisis yang direkod oleh pakar analisis dan juga Pan-gon sendiri sudah pasti bakal menjadi aset terbaik untuk menilai kesesuaian dan kemampuan pemain yang bakal dipanggil nanti.
Skuad negara yang bermula dengan cukup baik di bawah kendalian Pan-gon dalam siri perlawanan persahabatan Tri Nations baru-baru ini sudah pasti mahu dipersiapkan dengan lebih rapi lagi menjelang ujian sebenar di pentas Piala Asia nanti.