Kim Pan-gon Enggan Dibuai Mimpi
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui gembira dapat membawa pasukan itu mara ke peringkat separuh akhir Shopee Cup.

Pada masa sama, bekas jurulatih Harimau Malaya itu melihat perjalanan pasukan itu masih jauh. Justeru, Pan-gon mahu anak buahnya kekal fokus mendapatkan keputusan yang positif.

“Saya fikir ini satu langkah ke hadapan. Ada banyak perkara yang kita perlu lakukan jadi kita kena kekal sederhana.

“Kita belum sampai ke tahap yang kita mahukan. Jadi, kita kena kerja keras dan kekal sederhana bila bermain,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Selangor mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan mengikat BG Pathum United 1-1 di Stadium MBPJ.

Meskipun dipaksa bermain dengan 10 pemain, The Red Giants mendahului menerusi kapten, Faisal Halim pada separuh masa pertama.

BG Pathum kemudiannya meraih gol penyamaan menerusi gol sendiri Richmond Ankrah. Kebangkitan yang dicari anak buah Masatada Ishii tidak berlaku dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini menjadikan Selangor pasukan ketiga layak selepas Thep Xanh Nam Dinh FC dan juara bertahan, Buriram United.

Satu lagi wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B. JDT akan berdepan Nam Dinh di Stadium Thien Truong pada Khamis.