Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon melihat dua aksi final Shopee Cup sebagai medan kelab Malaysia mempamerkan kekuatan sebenar.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih Harimau Malaya itu dalam sidang media praperlawanan final pertama kejohanan itu baru-baru ini.
Pan-gon melihat kejayaan bergelar juara Shopee Cup bukan saja membantu Selangor mengakhiri kemarau trofi sejak tahun 2015.
Malah, ini juga dilihat peluang kelab Malaysia seperti Merah Kuning mempamerkan kekuatan sebenar dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Ia sesuatu yang hebat jika kita bergelar juara. Ini bukan saja satu kejayaan buat Selangor tetapi juga kejayaan buat Malaysia,” kata bekas jurulatih Ulsan HD itu.
“Ini kerana saya fikir di rantau Asia Tenggara, kita sering dilihat sebagai (pasukan) bukan pilihan. Tapi kita berjaya ke final (Shopee Cup) dan kita patut bangga.
“Kita perlu berikan sesuatu yang kita bangga kepada penyokong. Justeru, kita akan menyerang dan cuba mendominasi kawalan (bola) serta menunjukkan betapa kuatnya pemain Malaysia. Itu yang paling penting.”
Selangor akan berdepan cabaran juara bertahan, Buriram United dalam aksi final pertama di Stadium MBPJ pada Rabu. Ini disusuli aksi final kedua di Stadium Buriram pada 27 Mei.
Selangor juga berpeluang mencipta sejarah menjadi kelab Malaysia pertama bergelar juara Shopee Cup.