Naib Presiden Buriram United Mohon Maaf
MakanBola
Buriram United

Naib Presiden Buriram United, Karuna Chidchob meminta maaf buat penyokong Selangor yang tersinggung dengan kenyataan beliau.

Buriram United dan Selangor bakal turun dalam aksi final pertama ACC Shopee Cup dengan misi penting mencari jaringan untuk bekalan sebelum perlawanan timbal balik nanti.

Di sebalik kehangatan aksi ini, kecoh di media sosial apabila Naib Presiden Buriram United, Karuna Chidchob memuat naik sekeping foto beserta kapsyen yang menyinggung hati peminat Selangor.

Beliau menempelak keadaan venue perlawanan akhir Shopee Cup, Stadium MBPJ dengan melabel gelanggang utama bagi pasukan Selangor itu menggunakan perkataan usang dan tua.

Hantaran di laman Facebook Karuna Chidchob tersebut tular dan mendapat perhatian sebelum ditegur oleh salah seorang peminat Selangor bagi membetulkan mengenai fakta tentang stadium skuad Gergasi Merah.

”Hai puan, stadium baharu Selangor masih sedang dalam pembinaan di Shah Alam dan dijangka beroperasi sekitar permulaan tahun 2029 kelak,” tulis salah seorang peminat Selangor, Khairil Azim.

”Minta maaf kerana saya berkata sedemikian,” balas Karuna Chidchob.

Komen Karuna Chidchob Naib Presiden Buriram United Mohon Maaf
Facebook: Karuna Chidchob

Sebaik tular dan ditegur, Karuna Chidchob lantas memadam kapsyen tersebut dan menukar kepada emoji berwarna biru sebagai respon kepada permohonan maafnya sebelum itu.

Aksi final pertama Shopee Cup antara Selangor vs Buriram United akan berlangsung pada Rabu, 20 Mei 2026 dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam waktu tempatam.