Bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon difahamkan perlu membayar lebih RM3 Juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hal ini susulan peletakan jawatannya dalam tempoh singkat sekaligus meninggalkan posisinya selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Pengendali berusia 55 tahun itu telah berkhidmat bersama skuad kebangsaan selama 2 tahun 6 bulan sebelum memutuskan untuk tidak lagi bersama pasukan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi memaklumkan perkara ini ketika ditemui oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Katanya, FAM lebih memikirkan kestabilan pasukan dan belum membincangkan perkara ini lebih lanjut.
“Ketika ini, kita (FAM) belum lagi membincangkan perkara ini secara terperinci. Kim Pan-gon memberikan notis terlalu singkat untuk keluar meninggalkan posisinya.
“Kita lebih memikirkan kestabilan pasukan dan juga hubungan dengan Kim Pan-gon. Kita juga berjaya mencapai keputusan bersama untuk dia memendekkan kontraknya bersama Malaysia,” ujarnya.
Kontrak asal pengendali kelahiran Korea Selatan itu bakal berakhir pada Disember 2025 namun memilih untuk meninggalkan pasukan lebih awal.
Setakat ini, FAM masih belum mengadakan perbincangan secara terperinci mengenai perkara ini atas persetujuan bersama bagi melepaskan beliau dengan anggaran pampasan sekitar RM3.17 Juta.
Posisinya bakal diambil alih oleh pemangkunya iaitu Pau Marti Vicente sehingga akhir tahun 2024.