Wajah Kim Pan-gon mencuka saat Ulsan HD tewas kali ke-5 dan bolos 13 kali dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE).
Juara K-League itu turun dengan motivasi terbaik berbekalkan azam untuk menamatkan rentetan kekalahan di Asia.
Hasrat itu sekali lagi lebur apabila wakil China, Shanghai Port memberikan kekalahan kelima buat Ulsan HD hasil kemenangan 3-1 di tempat lawan.
Rekod bekas jurulatih kebangsaan Malaysia itu di Asia bersama Ulsan HD amat teruk setelah tewas kali pertama menentang Kawasaki Frontale (1-0) disusuli Yokohama FM (4-0), Vissel Kobe (2-0) dan juga JDT (3-0).
Kekalahan menentang Shanghai Port memastikan Ulsan HD terus menghuni tangga tercorot dan menjadi satu-satunya pasukan yang belum mencatatkan sebarang mata pada peringkat kumpulan.
Jaguh Korea itu juga mencatatkan 5 kekalahan sekaligus menyukarkan misi untuk layak ke pusingan kalah mati.
Carta teratas kumpulan terus dipimpin oleh wakil Jepun, Vissel Kobe dengan 13 mata diikuti rapat oleh Gwangju dengan 9 mata selepas 5 perlawanan.
Ujian berikutnya buat Kim Pan-gon adalah untuk mempersiapkan pasukan menentang Shangai Shenhua pada 4 Disember ini di gelanggang lawan.