Aksi kelima AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa menyaksikan Ulsan HD menjadi mangsa kekalahan Shanghai Port di laman sendiri.
Turun dengan momentum juara Chinese FA Cup, Shanghai Port hadir ke gelanggang lawan untuk berdepan ujian Ulsan HD yang masih tercari-cari 3 mata pertama dalam saingan ACLE.
Pengendali Ulsan, Kim Pan-gon melakukan enam pertukaran berbanding aksi terakhir menentang JDT sementara barisan pemain Shanghai Port diketuai oleh bekas tonggak Chelsea, Oscar.
Ketika aksi baru memasuki minit ke-11, Matias Vargas terlebih dahulu meletakkan Shanghai Port di hadapan apabila berjaya melepasi kawalan 2 pemain sebelum menewaskan Jo Su-huk di pintu gol.
Pelawat terus mempamer bisa dengan meledak jaringan ke-2 sekali lagi menerusi Matias Vargas pada minit ke-23 setelah menyudahkan hantaran dari Oscar untuk membolosi gawang Ulsan HD.
Malang buat Shanghai Port apabila terpaksa bermain dengan 10 orang pemain setelah pertahanan, Ang Li dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin pada minit ke-31.
Kesempatan itu gagal dimanfaatkan oleh tuan rumah di baki babak pertama menyaksikan tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan sebelum kembali ke bilik persalinan.
Separuh masa pertama tamat, Ulsan HD 0-2 Shanghai Port.
Kembali dari rehat, Kim Pan-gon segera merencana strategi dengan membawa masuk tiga pemain dari bangku simpanan di pertengahan aksi dalam usaha memburu gol pertama buat tuan rumah.
Perancangan tersebut membawa hasil segera buat Ulsan HD apabila kembali merapatkan kedudukan hasil tandukan Joo Min-kyu berpunca dari sepakan sudut Lee Myeong-Jae pada minit ke-73.
Jaringan tersebut menyemarakkan lagi apa perjuangan Ulsan HD untuk mencari gol penyamaan bagi mengikat kedudukan namun pasukan kendalian Kevin Muscat tetap utuh bertahan.
Tujuh minit sebelum aksi tamat, Matias Vargas muncul watak pemusnah apabila melengkapkan hatrik buat Shanghai Port sekaligus meranapkan usaha Ulsan HD mendapatkan satu lagi gol.
Perlawanan di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Shanghai Port.
Aksi ACLE bakal kembali minggu hadapan dengan Ulsan HD bakal terbang ke China untuk berdepan Shanghai Shenhua sementara Shanghai Port menerima kunjungan Gwangju.