Pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon mendedahkan pasukan itu memiliki sasaran besar untuk musim 2025.
The Tigers menutup kempen tahun 2024 dengan satu lagi trofi K-League 1. Ini menjadikan Ulsan antara beberapa pasukan yang berjaya meraih kejuaraan liga utama Korea Selatan itu sebanyak tiga kali berturut-turut.
Walau bagaimanapun, The Tigers berharap dapat memperbaiki rekod mereka dalam kejohanan domestik dan Asia. Musim 2024 menyaksikan mereka muncul naib juara Korean FA Cup.
Saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pula menyaksikan Ulsan tewas sebanyak lima kali dan hanya mencatatkan satu kemenangan. Kemenangan itu direkodkan dalam aksi menentang Shanghai Shenhua pada 4 Disember lalu.
Atas sebab itu, Pan-gon melihat tahun 2025 sebagai tahun terbaik buat The Tigers kembali mengaum terutama di peringkat Asia.
“Matlamat utama kita ialah memenangi liga buat kali keempat berturut-turut. Selain itu, kita juga mahu bangkit dalam Liga Juara-Juara AFC di mana kita gagal beraksi dengan baik musim lepas dan mendapatkan keputusan yang bagus,” katanya seperti dilaporkan K-League United.
“Kita juga turut membuat persiapan agar penyokong-penyokong kita dapat meraikan kejayaan dalam saingan Piala Kelab Dunia FIFA.”
Ulsan kini sibuk berbelanja dalam tetingkap perpindahan K-League 1 selepas memilih melepaskan beberapa pemain tonggak. Ini termasuk bekas penjaring terbanyak mereka, Joo Min-kyu.
Antara pemain yang dibawa masuk Pan-gon dan Ulsan ialah bekas pemain Barcelona, Matias Lacava dan bekas pemain tengah Puszcza Niepolomice, Lee Jin-hyun.
The Tigers bakal membuka kempen musim 2025 dengan menentang Buriram United untuk saingan ACLE pada 12 Februari. Ini disusuli aksi pertama K-League 1 menentang FC Anyang pada 16 Februari.