Kim Sang-sik Mohon Maaf
MakanBola
Vietnam FF

Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik meminta maaf kepada peminat setelah dibelasah Harimau Malaya dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027.

Pada aksi yang berlangsung di Bukit Jalil, Vietnam hadir ke Kuala Lumpur dengan misi untuk mencuri 3 mata sekaligus mencerahkan peluang ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, impian besar Pahlawan Bintang Emas ini tak kesampaian apabila Malaysia yang diperkuat dengan kehadiran 5 pemain warisan baharu tampil gah merekodkan kemenangan.

4 jaringan di separuh masa kedua masing-masing oleh Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan juga tandukan Dion Cools memastikan kejayaan besar 4-0 memihak skuad negara.

Ketika ditemui di sidang media, Kim Sang-sik tanpa berucap panjang memulakan kata dengan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Vietnam serta peminat walau di mana mereka berada.

“Pertama sekali, selaku jurulatih, saya ingin memohon maaf kepada peminat Vietnam yang menonton di televisyen dan juga mereka yang hadir ke stadium,” ucap Kim Sang-sik di awal kata.

Dengan kekalahan ini, Vietnam kini menghuni tangga kedua kumpulan F dengan 3 mata hasil satu kemenangan selepas dua perlawanan dan akan menentang Nepal di laman sendiri pada Oktober nanti.

Sementara itu, pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski pula akan terbang ke Vientiane untuk aksi berdepan satu lagi negara jiran Asia Tenggara, Laos pada 9 Oktober.