Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin tidak mahu membebankan skuad kebangsaan dengan sasaran yang tidak masuk akal di Piala Asia 2023 bulan hadapan.
Jelas Hamidin, Malaysia perlu berpijak di bumi yang nyata dengan melihat kedudukan ranking pasukan lawan yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.
Jika Malaysia berjaya mara ke pusingan 16 terakhir, itu sudah menjadi satu pencapaian membanggakan buat bola sepak Malaysia.
“Kalau kita lihat kepada pemain-pemain (yang dipanggil), saya rasa ini adalah pemain-pemain yang terbaik ya. Mungkin ada satu dua pemain yang terlepas kerana kecederaan.
“Sudah tentu kita punya harapan kalau layak ke pusingan 16 terakhir itu sudah cukup baik. Tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa kesemua 24 pasukan yang bertanding ini adalah yang terbaik.
“Jordan (ranking ke-87), jadi dua perlawanan awal ini adalah cukup mustahak untuk kita bagi mendapatkan mata. Jika layak ke round 16, satu pencapaian yang bagus,” jelas Hamidin ketika ditemui di majlis sambutan hari lahir dan majlis doa selamat sempena Piala Asia 2023 & kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Malaysia dijadualkan akan berlepas ke Qatar pada 1 Januari 2024 untuk menyesuaikan diri di sana selain dapat membantu pemain beradaptasi dengan keadaan cuaca dan persekitaran baharu.
Dalam kempen Piala Asia 2023 bulan hadapan, Malaysia diletakkan di dalam kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia dengan menentang Jordan pada 16 Januari. Bahrain akan menjadi lawan kedua buat Malaysia pada 20 Januari sebelum mengakhiri saingan kumpulan dengan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.