Pengendali skuad hoki 5s Malaysia, Wallace Tan melihat barisan pemain negara telah memberi yang terbaik dalam aksi final Hoki 5s Piala Dunia semalam.
Skuad negara melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke final edisi sulung Hoki 5s Piala Dunia selepas mengetepikan Poland di separuh akhir.
Bagaimanapun, hajat anak buah Wallace bergelar juara tidak kesampaian apabila tewas 5-2 kepada kuasa hoki dunia, Belanda di pentas final.
Meskipun tewas di pentas final, ini masih pencapaian terbaik yang pernah dilakar dalam arena sukan hoki negara.
Justeru, Wallace berharap rakyat Malaysia dapat terus memberi sokongan padu kepada sukan hoki terutama skuad hoki 5s negara.
“Perancangan (skuad) hoki 5s ke Piala Dunia bermula dari pusingan kelayakan di Salalah, Oman juga pada Ogos lalu. Jadi, Malaysia bertanding dan layaklah ke pertandingan ini di Muscat.
“Dan dalam pertandingan ini, sebelum ini kita dapat beberapa latihan, kita cuba perbaiki beberapa perkara. Dan boleh dikatakan ini satu pencapaian yang baik juga dalam Piala Dunia.
“Aksi final ini kita cuba bersungguh-sungguh tapi tewas. Untuk Piala Dunia Hoki 5s yang pertama, saya kira ini pencapaian tertinggilah untuk hoki Malaysia iaitu tempat kedua.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberi kepada pasukan kamilah.
“Kami sudah mencuba bersungguh-sungguh tetapi kita hanya dapat nombor dua. Terima kasih dan saya harap anda dapat terus menyokong hoki Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena hari ini.
Skuad hoki 5s negara dijangka mendapat bonus atas pencapaian mereka sepanjang berada di Muscat, Oman.
Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media yang diadakan semalam.