KL City FC melakar sejarah tersendiri semasa menewaskan Terengganu FC dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Pada awalnya, The City Boys ketinggalan menerusi gol pemain pertahanan kebangsaan, Safwan Mazlan. Paulo Josue kemudiannya memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama.
Bekas penyerang Filipina, Patrick Reichelt muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat juara Piala Malaysia 2021 itu pada lewat permainan.
Kemenangan ini bukan saja kemenangan pertama KL City sejak 17 Disember lalu. Malah, ini juga kemenangan pertama The City Boys di Kuala Terengganu sejak 1997.
Fakta menarik itu dikongsikan wartawan dan peminat KL City, Devinder Singh. KL City meraih kemenangan 1-0 pada tahun tersebut menerusi Adilson Roque.
“Buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun, Kuala Lumpur menewaskan Terengganu dalam perlawanan liga di Kuala Terengganu sejak 1997.
“Perlawanan itu menyaksikan kemenangan 1-0 menerusi jaringan Adilson Roque dalam saingan Liga Perdana,” katanya di X.
Roque beraksi buat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu dari tahun 1996 hingga 1998. Beliau kini menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Brazil, Dourados.
Fakta ini turut menggamit perhatian bek tengah KL City, Giancarlo Gallifuoco. “Kemenangan pertama di tempat lawan ke atas Terengganu dalam saingan liga!” katanya di X.
Keputusan ini menyaksikan KL City melonjak ke tangga ketujuh dengan 21 mata, enam mata di belakang Terengganu FC.