KL City berisiko kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman di Stadium Cheras pada Sabtu.
Menurut pengendali KL City, Miroslav Kuljanac, skuadnya kini mengalami isu kecederaan melibatkan beberapa pemain yang menggusarkan beliau untuk melakukan persiapan.
”Kami mengalami beberapa kecederaan dan saya berharap pada Sabtu semuanya berada dalam keadaan baik, mereka dapat pulih dan kembali bersama pasukan,” ujar Kuljanac dalam segmen Nadi Bola.
Ketika ini, hanya Patrick Reichelt sahaja yang sudah pasti terlepas aksi berdepan Sang Kenari selepas pemain berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan ketika bersama skuad Filipina.
”Saya pasti hanya Patrick Reichelt yang masih mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan Filipina, dan kecederaannya memakan masa yang lama,”
Tambahnya lagi, sebarang perubahan bakal dilakukan atas nasihat pakar memandangkan keutamaan Kuljanac ketika ini untuk memastikan tiada kecederaan serius dialami para pemain
”Perubahan bergantung kepada laporan perubatan, saya masih menunggu keadaan beberapa pemain, saya bakal hubungi doktor kerana saya tidak mahu mengambil sebarang risiko.”
Setakat yang dilaporkan, keadaan jeneral tengah, Brendan Gan dan tonggak pertahanan, Giancarlo Gallifuoco sedang dipantau setelah mengadu mengalami kesakitan beberapa hari lalu.
”Ketika ini hanya (keadaan) 2 orang pemain masih menjadi tanda tanya. Brendan Gan masih cedera, jadi kita akan lihat nanti dan Giancarlo Gallifuoco merasa kesakitan Isnin lalu,”
”Akan tetapi setakat ini saya merasakan mereka akan sempat pulih,” tambah Kuljanac sambil mengharapkan yang terbaik buat para pemainnya.
The City Boys akan melayani kunjungan Kedah Darul Aman di laman sendiri bagi aksi Liga Super minggu ke-10 pada Sabtu dengan sepak mula perlawanan jam 9 malam.