Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac berharap kecederaan kepala yang dialami bek tengah Australia, Giancarlo Gallifuoco tidak serius.
Bek tengah berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan tersebut dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Temerloh pada 26 Januari lalu.
Kecederaan tersebut memaksa Kuljanac memasukkan Amir Shaqirin Hamzah pada minit ke-50 sebagai pengganti Gallifuoco.
Jurulatih Croatia itu berharap kecederaan bekas bek tengah Melbourne Victory itu tidak terlalu serius. Ini kerana KL City bakal berdepan aksi penting dalam saingan Shopee Cup pada Februari ini.
“Saya harap semuanya baik. Saya tak tahu seperti anda apa yang berlaku. Beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala, saya harap semuanya baik,” katanya selepas perlawanan.
Seandainya Gallifuoco terpaksa disisihkan, ini akan menambah masalah kecederaan yang dihadapi The City Boys.
Sebelum ini, KL City terpaksa melupakan Azri Ghani, Anwar Ibrahim, Sean Giannelli dan Nick Swirad akibat masalah kecederaan.
Aksi Sri Pahang dan KL City berakhir dengan keputusan seri 1-1. Penalti Stefano Brundo memadamkan kelebihan awal pelawat menerusi Kenny Pallraj.
Selepas ini, KL City mengalihkan fokus kepada aksi terakhir Kumpulan B Shopee Cup. Mereka akan berdepan juara Thai League 1 musim 2023/24, Buriram United pada 6 Februari.