Jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac tidak menolak kemungkinan menggunakan pemain muda dalam aksi terakhir Kumpulan B Shopee Cup.
Kemungkinan itu dinyatakan beliau dengan mengambil kira isu penggantungan dan masalah kecederaan yang membelenggu pasukan itu dalam Shopee Cup.
The City Boys tidak dapat memanfaatkan khidmat kapten, Paulo Josue dan pemain pertahanan, Kamal Azizi Mohamad Zabri.
Ini kerana kedua-duanya perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang dalam aksi keempat kumpulan menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN).
Selain itu, KL City juga terpaksa menyisihkan Azri Ghani, Nick Swirad, Sean Giannelli dan Anwar Ibrahim akibat masalah kecederaan.
“Saya tahu Paulo (Josue dan Kamal Azizi) tak boleh beraksi kerana kad merah. Saya harap Brendan (Gan) dapat kembali menyertai kita, kita akan lihat bagaimana,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
“Azri Ghani mengalami kecederaan, Sean (Giannelli) dan Anwar (Ibrahim) mengalami kecederaan jangka panjang. Nick Swirad juga mengalami kecederaan jangka panjang.”
Atas sebab itu, Kuljanac melihat beberapa pemain muda bakal ditagih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan menjelang aksi menentang Buriram United pada Februari ini.
“Saya fikir saya akan bawa beberapa pemain muda. Mereka berpeluang menentang sebuah pasukan yang bagus, sudah pasti mereka akan dapat mendapat peluang,” tambahnya.
“Saya fikir ini akan menjadi satu pengalaman yang baik buat mereka. Saya tahu kita akan berjuang di sana dan lihat.
“Saya tahu mereka (Buriram) satu pasukan yang besar, satu pasukan yang bagus. Tapi kita masih ada peluang (untuk layak ke separuh akhir).”
KL City kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 26 Januari ini.