Pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sah menyelesaikan tunggakan gaji bekas jurulatih penjaga gol pasukan itu, Guilherme Almeida.
Sebelum ini, Almeida mendedahkan pasukan itu belum menyelesaikan tunggakan gajinya selama hampir tujuh bulan. Tunggakan itu termasuk elaun dan tiket penerbangan.
“Hampir tujuh bulan. Hampir tujuh bulan dengan sebahagian duit kerana kita masukkan sekali tiket penerbangan dan elaun. Jadi, jumlah semua sekali melebihi RM100,000,” kata jurulatih penjaga gol berusia 43 tahun itu.
Almeida juga memaklumkan telah berhubung dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berhubung perkara itu.
Kini, jurulatih penjaga gol Viettel itu memaklumkan bekas juara Piala Malaysia 2021 itu telah melunaskan tunggakan gaji beliau. Almeida turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Syed Yazid atas komitmen mereka untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa hutang saya kepada Kuala Lumpur City FC telah diselesaikan. Selepas lebih dua tahun, kami telah menyelesaikan semua isu tertunggak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Syed, Abang Raja, dan semua pengarah atas komitmen mereka,” katanya di X.
Berita ini dijangka memberi kelegaan kepada KL City terutama menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA menentang DPMM FC pada 20 September ini.