Jurulatih baru KL City FC, Nenad Bacina mahu pasukannya dapat mengekalkan momentum kemenangan menjelang aksi derby Lembah Klang antara The City Boys dan Selangor FC esok.
Selepas nama Bacina diumumkan sebagai pengganti Bojan Hodak, KL City FC telah merekodkan dua kemenangan besar iaitu 5-1 ke atas Kelantan FC (Liga Super) dan 4-0 ke atas Penang FC dalam saingan Piala Malaysia.
Dengan beliau kini mengambil alih tugas daripada pemangku jurulatih Miroslav Kuljanac, Bacina percaya anak-anak buahnya mampu memberi saingan biarpun mengetahui The Red Giants ialah pasukan pilihan.
“Sudah tentu kita mahu teruskan (rentak kemenangan). (Kita meraih) kemenangan ke atas Penang yang juga satu pasukan yang hebat (dengan) empat gol.
“Pasukan sedang melalui momentum yang bagus kerana sebelum ini mereka telah memenangi (dua) perlawanan. Dan harapnya sudah tentu kita dapat teruskan momentum.
“Saya ingin tekankan bahawa Selangor ialah satu pasukan yang bagus. Kita pasukan underdog kalau lihat berdasarkan kedudukan liga.
“Kita akan pergi ke Stadium PJ dan hormati Selangor tetapi sudah tentu kita akan beri yang terbaik untuk mengalahkan mereka,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan KL City FC-Selangor FC hari ini.
Dua pasukan Lembah Klang ini akan bersemuka esok dengan The Red Giants melihat kemenangan mampu mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua.
Sementara anak-anak buah Bacina pula berharap dapat menjarakkan mata dengan pasukan di tangga ketujuh, Terengganu FC sekiranya meraih tiga mata.