Bahagian penjaga gol KL City FC kini diperkuatkan dengan kehadiran penjaga gol import dari New Zealand, Lawton Green.
Ini selepas namanya tersenarai dalam senarai pemain simpanan The City Boys dalam beberapa perlawanan pra-musim termasuk kejohanan pra-musim, Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup).
Terbaru, nama Green tersenarai dalam senarai pemain gantian untuk aksi SMJ Cup antara KL City dan kelab Singapura, Hougang United hari ini.
Penjaga gol berusia 20 tahun itu turut merasai nikmat trofi apabila KL City menggondol gelaran juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024.
Green dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol muda, Azim Al Amin Kamaruddin.
Ini kerana penjaga gol Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu memilih berhijrah ke pasukan gergasi tanah air, Selangor FC.
Kehadiran Green dijangka menambah persaingan untuk merebut slot penjaga gol utama KL City untuk musim 2024/25.
Selain beliau, dua penjaga gol Harimau Malaya, Azri Ghani dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy juga bersaing untuk slot berkenaan.
Sebelum menyertai KL City, Green pernah beraksi untuk dua kelab Scotland iaitu Motherwell dan Greenock Morton.
Beliau menjadi pemain import keenam menyertai The City Boys untuk musim 2024/25. Selain beliau, Jovan Motika, Adrijan Rudovic dan Lazar Sajcic merupakan pemain import baru pasukan dari rantau Balkan.
Pengurusan KL City turut mengumumkan mereka mengekalkan dua tonggak import musim lepas iaitu Giancarlo Gallifuoco dan Patrick Reichelt.