Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akhirnya dapat menampilkan skuad lengkap untuk aksi Liga Super menentang DPMM FC.
Semakan di laman Sistem Pengurusan Pertandingan (CMS) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan KL City bukan saja mampu menyenaraikan kesebelasan utama menentang anak buah James McAllister itu.
Malah, pasukan Lembah Klang yang dibimbing Datuk Dollah Salleh itu turut menyenaraikan sembilan pemain simpanan. Antara yang berada di bangku simpanan ialah Hazwan Bakri, Ibrahim Manusi dan penjaga gol Filipina, Quincy Kammerad.
Perkara ini berjaya dicapai selepas KL City bebas daripada sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Hal ini membolehkan The City Boys mendaftarkan lapan pemain baharu untuk memperkuatkan cabaran pasukan itu musim ini.
Antara pemain yang dibawa masuk ialah Hazwan, Ibrahim, Baqiuddin Shamsudin, Saiful Jamaluddin, Syafiq Ahmad dan Gary Steven Robbat.
KL City juga berpotensi mendapatkan dua lagi tonggak import, Joseph Adjei dan Yusuf Tunji Omotosho sebelum tetingkap perpindahan Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada awal September ini.