KL City FC bertekad untuk kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Keinginan pasukan Lembah Klang itu dizahirkan menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi mereka.
KL City turut memaklumkan kenyataan yang dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar dibuat atas kapasiti peribadinya.
“Kuala Lumpur City FC tetap bertekad untuk mengekalkan status sebagai kelab elit dalam kancah Liga Super Malaysia.
“Sebarang ketetapan berhubung masa hadapan kelab ini hanya akan ditentukan melalui keputusan rasmi mesyuarat di peringkat Lembaga Pengarah termasuk kesepakatan di kalangan pemegang taruh utama untuk memastikan kelestarian dan hala tuju kelab ini mengambil kira kepentingan terbaik para penyokong setia City Boys, pemain, jurulatih, pengurusan, para penaja dan rakan kongsi kami,” kata kelab dalam satu kenyataan.
KL City turut memaklumkan pasukan itu mengambil maklum kenyataan yang dibuat penaung pasukan, Fahmi Fadzil untuk menjadikan pasukan itu pasukan ternama pada 17 Oktober 2024.
“Tambahan pula, kami turut mengambil maklum dan menghargai kenyataan yang dibuat oleh Penaung Kuala Lumpur City FC, YB Fahmi Fadzil, pada 17hb Oktober 2024 ketika Majlis Malam Eksklusif Kepimpinan Baru KLFA bersamanya, berhubung aspirasi beliau untuk menjadikan kelab ini sebagai kelab yang ternama.
“Komitmen, sokongan, dan visi beliau amatlah tidak ternilai harganya dalam memacu perkembangan untuk mencapai kejayaan jangka panjang kelab ini,” tambahnya.
KL City kini fokus untuk aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman pada 7 Mac ini.