Kuala Lumpur City (KL City) hanya menyenaraikan 10 pemain di dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Super bertemu Kuching City pada Rabu.
Menerusi senarai kesebelasan utama yang dimuat naik sejam sebelum aksi, hanya 10 pemain diturunkan oleh jurulatih, Dollah Salleh, kurang seorang pemain berbanding pasukan lawan, Kuching City pada perlawanan kali ini.
Posisi penjaga gol diisi oleh Quincy Kammerad, sambil dibantu oleh 5 pemain pertahanan iaitu Giancarlo Gallifuoco, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq, Adam Nor Azlin dan Kamal Azizi.
Kapten pasukan, Paulo Josue mengetuai jentera serangan sendirian, bersama-sama 3 lagi rakan sepasukan di bahagian tengah iaitu J. Parthiban, Kenny Pallraj serta S. Sharvin sementara Fazrul Amir berada di bangku simpanan.
Terdahulu, KL City telah mendapat kelulusan khas dari Malaysian Football League (MFL) bagi mendaftarkan minimum 12 pemain lebih kurang 3 jam sebelum bermula aksi Liga Super bertemu Kuching City di Stadium Cheras.
Kelulusan tersebut diberikan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meluluskan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Kuala Lumpur City FC berhubung status pendaftaran pemain kelab.
Permohonan itu dibuat susulan proses penyelesaian beberapa kes tunggakan yang melibatkan bekas pemain sehingga menyaksikan kelab dikenakan Larangan Pendaftaran Pemain oleh FIFA.
Menerusi surat rasmi bertarikh 26 Ogos 2026, KL City FC memaklumkan bahawa pihak kelab telah menyelesaikan tunggakan bayaran kepada tiga bekas pemain import.
Bagaimanapun, kelab berkenaan masih menunggu proses kelulusan FIFA bagi menarik balik Perintah Larangan Perpindahan Pemain yang dikenakan terhadap mereka.