Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memanjatkan rasa syukur di atas kejayaan pasukan Harimau Selatan layak ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE).
Kemenangan 1-0 berjaya dicatatkan oleh JDT semasa turun dalam perlawanan terakhir peringkat liga ACLE Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa bagi layak ke pusingan kalah mati.
Gol tunggal Marcos Guilherme di pertengahan babak kedua memberikan kejayaan cukup manis dan bersejarah buat JDT di hadapan lebih 30,000 ribu peminat yang hadir menonton semalam.
Kejayaan ini turut mendapat reaksi dari DYAM Tunku Ismail yang turut hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dan mengucap rasa syukur ke hadrat Ilahi setelah melihat pencapaian JDT ketika ini.
Lensa kamera Astro Arena sempat merakam momen manis Tunku Ismail meraikan kemenangan JDT dari tempat duduk Baginda sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel sekali gus menamatkan aksi.
Malah, Baginda turut sempat meninggalkan komen di laman Instagram Official Johor yang menggambarkan rasa syukur di atas kejayaan dan sokongan peminat yang hebat kepada JDT.
”Alhamdulillah,” tulis Tunku Ismail beserta emoji yang seakan memberi gambaran perasaan syukur dengan kejayaan serta peningkatan pasukan milik Baginda.
”Keindahan Johor,” komen Baginda lagi di ruangan sama.

Kedudukan tak rasmi ACLE Zon Timur ketika ini menyaksikan JDT berada di tangga ke-6 dengan mengumpul 11 mata hasil 3 kemenangan, dua keputusan seri dan 3 kekalahan dalam 8 aksi peringkat liga.
Jika kedudukan ini tak berubah, JDT berkemungkinan besar akan berdepan Sanfrecce Hiroshima sekali lagi di pusingan 16 terbaik selepas kelab dari Jepun kini berada di tangfa ke-3.