Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail yakin pasukan Harimau Selatan bakal kembali bangkit lebih hebat meskipun tersingkir di separuh akhir Shopee Cup.
JDT terpaksa akur menelan kepahitan apabila terlepas tiket ke pentas final Shopee Cup musim ini selepas tumbang di tangan Buriram United dengan keputusan agregat 4-3 pada Rabu.
Biarpun tersingkir, JDT mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit mengikat agregat 3-3 pada suatu ketika meskipun ketinggalan dua gol sebelum pertarungan epik ini bermula.
Dua gol daripada Bergson dan Marcos Guilherme memberi kelegaan buat JDT bagi mengheret aksi ke masa tambahan sebelum Kingsley Schindler menoktahkan kemenangan 4-3 untuk tuan rumah.
Oleh itu, Tunku Ismail menerusi sebuah komen di Instagram Official Johor meluahkan rasa cukup bangga dapat melihat semangat juang tinggi yang ditampilkan pasukan JDT selama 120 minit aksi.
Baginda turut yakin pasukan Harimau Selatan bakal kembali bangkit lebih hebat pada musim hadapan seperti kebiasaan yang dilakukan saban tahun untuk memastikan JDT kekal di tahap terbaik.
”Tahniah semua. Bangga dengan semangat juang kalian. Kami akan bangkit lebih kuat tahun depan. Kita sentiasa lakukan seperti itu,” tulis Baginda di ruangan komen.

Selepas berakhirnya perjalanan di pentas Shopee Cup, fokus JDT bakal tertumpu kepada aksi terakhir pada musim ini iaitu perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan Kuching City pada 23 Mei ini.