Piala Malaysia: Kuala Lumpur City Cipta Kebangkitan Dramatik Untuk Seri Dengan Penang
Dunia
MFL
Advertisements

Perlawanan ke-2 kumpulan A TM Piala Malaysia yang menemukan Penang FC selaku tuan rumah turun bertemu pasukan pelawat Kuala Lumpur City FC berkesudahan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Sepak mula dilakukan oleh KL City dengan kawalan bola yang baik. Peluang awal hadir buat KL City apabila pada minit ke-2, Kenny Pallraj melakukan rembatan jauh namun sedikit tersasar. Pasukan Penang dilihat bermula agak perlahan dan bergelut mendapatkan rentak untuk 10 minit pertama.

Permukaan padang yang lembap ternyata memberi kesan kepada pergerakan bola dan pemain kedua-dua pasukan. Pada minit ke-20, Daniel Ting hampir menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun rembatannya tepat ke dakapan Samuel Somerville di gawang Penang.

Advertisements

Pergerakan Penang lebih kepada hantaran jauh mencari ‘target man’ mereka iaitu Casagrande namun barisan pertahanan KL City mempamerkan disiplin tinggi mengekang segala asakan.

Kedua-dua pasukan dilihat buntu mencari gol dan bola banyak berlegar di tengah padang tanpa percubaan merbahaya sehingga tamat separuh masa pertama. Babak pertama disudahi dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Separuhb masa kedua dimulakan dengan KL City membawa masuk ayam tambatan mereka, Paulo Josue yang menggantikan Safee Sali dalam usaha mereka mendapatkan gol.

Advertisements

Penang hampir mendahului pada minit ke-57 apabila Amer Azahar yang bergerak di sayap kiri berjaya menggelecek pertahanan namun rembatan yang dilepaskan beliau sedikit tersasar di kiri gawang gol KL City yang dijaga Kevin Mendoza.

Penang akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-77 apabila pemain import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev yang dilihat mahu melakukan hantaran ke kotak penalti namun ianya mengelirukan penjaga gol KL City sekaligus terus menerjah jaring tanpa disentuh mana-mana pemain. Penang mendahului 1-0.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan KL City menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Penang lebih cenderung untuk bertahan dan menunggu masa sesuai untuk melancarkan serangan balas.

Advertisements

Hasil asakan bertali arus, pasukan KL City berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan melalui Romel Morales selepas kelam kabut di hadapan gawang gol Penang.

Dengan keputusan seri ini, Penang FC kini berada di tangga ke-3 kumpulan A manakala KL City mengumpul 4 mata untuk berada di tangga ke-2. Selepas ini, aksi Piala Malaysia akan berehat demi memberi laluan kepada tugasan antarabangsa.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram