“Kuching City Datang Ke SSI Bukan Untuk Bertahan” – Ronald Ngah
MakanBola
Kuching City FC

Penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja percaya pasukan itu mampu memberi cabaran kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas berehat pada minggu sebelumnya, Kuching City bakal menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Rabu.

Ngah mengakui JDT satu pasukan yang hebat terutama bila beraksi di gelanggang sendiri. Ini terbukti apabila Harimau Selatan merekodkan kemenangan besar di laman sendiri.

Pada masa sama, Ngah tetap percaya dengan keupayaan The Cats untuk mencuri mata daripada tuan rumah.

“Kita tahu betapa bagusnya mereka berdasarkan keputusan aksi terakhir kita (dalam separuh akhir Piala FA). Kita tahu (jentera serangan) mereka sukar disekat tetapi kita tidak datang sini untuk bertahan.

“Kita datang untuk memberi kesukaran kepada mereka kerana kita beraksi di tempat lawan. Bermain di tempat lawan sememangnya sukar.

“Tetapi sebagai satu pasukan, kita tetap merendah diri dan berjuang bersama demi lencana di dada,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Aksi ini dilihat peluang buat Kuching City membalas dendam kepada JDT. Ini kerana pasukan itu menyingkirkan The Cats di peringkat separuh akhir Piala FA.

Aksi ini juga berpotensi menyaksikan Arif Farhan Md. Isa membuat penampilan pertama sebagai pemain baharu Kuching City. Arif Farhan tiba dari pasukan utara tanah air, Penang FC.