Selepas mendapatkan Bruno Dybal beberapa hari lepas, Kuching City FC terus merombak barisan awang import mereka. Terbaru, dua lagi awang import baru direkrut pengurusan Il Gatto iaitu Pedro Henrique dan Dechi Marcel N’Guessan.
Penyertaan dua awang import baru Kuching City FC ini diumumkan oleh pengurusan kelab di laman media sosial rasmi pasukan hari ini.
Pedro Henrique atau nama sebenarnya Pedro Henrique Cortes Oliveira Góis merupakan penyerang Timor Leste berdarah Brazil. Dybal amat mengenalinya kerana kedua-duanya merupakan rakan sepasukan di Persikabo 1973 musim lepas.
Henrique juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini. Sebelum Kuching City FC, penyerang berusia 31 tahun itu pernah menyarung jersi Sri Pahang FC, PKNS FC dan PJ City FC.
Sementara Marcel juga bukan asing dalam kalangan penyokong Liga M. Ini kerana pemain tengah itu pernah menyarung jersi Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam beberapa musim lepas.
Dengan pengalaman Liga M yang dimiliki dua pemain import baru ini, ini menunjukkan Kuching City FC tidak mahu lagi terperangkap dalam kelompok tercorot liga.
Marcel dan Henrique dijangka boleh didaftarkan sebagai awang import baru Il Gatto apabila tetingkap perpindahan kedua dibuka pada 5 Julai ini.