Tonggak tengah Sri Pahang FC dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev sah tidak lagi bersama pasukan dari Pantai Timur itu.
Pengumuman ini dibuat pengurusan skuad Tok Gajah di platform rasmi mereka pada 10 Julai lalu. Ruziev dijangka kembali ke Uzbekistan untuk menyertai kelab Neftchi Fergana.
“Sri Pahang ingin mengumumkan pemain import dari Uzbekistan, Ruziev Kuvondik tidak lagi akan bersama pasukan dalam baki saingan musim ini.
“Ruziev telah menerima tawaran untuk kembali bermain di negara kelahirannya bersama kelab Neftchi Fergana.
“Menghormati keputusan tersebut, kelab bersetuju melepaskan beliau dan mengucapkan selamat maju jaya bersama pasukan baru,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Ruziev menyertai Sri Pahang dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) 2023. Kemasukan beliau membantu skuad Tok Gajah menamatkan kempen di tempat kelima liga pada musim lalu.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu telah merekodkan 19 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama Sri Pahang mengikut data terbaru Transfermarkt.
Ruziev bukan satu-satunya bekas tonggak import Liga M yang beraksi untuk Neftchi Fergana. Ini kerana sebelum ini, kelab itu turut mendapatkan bekas orang besi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Bojan Ciger.