Sejak skuad senior Malaysia mendapat sentuhan jurulatih Kim Pan-gon, Harimau Malaya berupaya memperbaiki kedudukan ranking semasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Dan bagi legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan, tidak mustahil skuad negara mampu menjadi pasukan 100 terbaik dunia.
Keyakinan bekas jurulatih Melaka United FC itu bersandarkan kepada pencapaian baik Harimau Malaya sejak tahun lepas.
Begitupun, beliau pada masa sama mengingatkan agar Harimau Malaya tidak leka dan sentiasa berusaha menambahbaik kelemahan dalam aksi perlawanan seterusnya.
“Alhamdullilah. Ia satu kebanggaan kepada pasukan bola sepak negara selepas kita dapat naik dalam kedudukan ranking dunia. Itu adalah apa yang dimahukan semua penyokong Harimau Malaya selama ini.
“Namun, saya yakin kita dapat pergi lebih jauh daripada kedudukan sekarang ini. Saya percaya skuad negara mampu berada di ranking 100 terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Lagipun, pasukan negara ini baru sahaja diperbaiki, bukan dah lama. Kenaikan demi kenaikan ini adalah satu bukti bahawa pasukan negara semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Ketika ini, Malaysia menduduki ranking ke-137 FIFA – pencapaian terbaik Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun. Pencapaian terbaik negara sebelum ini ialah ranking ke-127 FIFA yang dicapai pada tahun 2006.