Lagenda Manchester United Puji Falsafah Bola Peter Cklamovski
MakanBola
MUFC/Malaysia NT

Lagenda bola sepak Manchester United menghamburkan pujian terhadap falsafah bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Jurulatih kelahiran Australia itu telah meninggalkan Harimau Malaya menerusi persetujuan bersama bagi penamatan kontrak bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau seterusnya diumumkan selaku pengendali baharu kelab Divisyen 4 di England, Salford City FC yang beraksi di Football League Two.

Kelab ini dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sir David Beckham dan juga Gary Neville termasuklah beberapa pemain lagenda United lain seperti Paul Scholes selaku Penasihat Bola Sepak.

Menerusi satu perkongsian oleh Scholes, beliau memuji pendekatan dan falsafah yang cuba dibawa oleh Cklamovski bersama Salford City FC.

“Peter menyerlah berbanding calon lain bukan hanya kerana cara yang mahu dibawa, tetapi cerita perjalanannya juga.

“Saya melihat bahawa beliau merupakan seorang pemimpinan, yang bakal menyerlah bukan sahaja dalam kalangan jurulatih dan bersama pemain, tetapi juga buat para penyokong kelab,” ujar Scholes.

Scholes juga memuji pendekatan bola sepak yang mahu dibawa oleh bekas jurulatih FC Tokyo ini bagi memacu lebih banyak kejayaan buat Salford City FC.

“Saya rasa corak bola sepak yang mahu diterapkan amat menarik. Permainan secara serangan, mengujakan dan yang penting adalah beliau mahu pasukannya tidak dibolosi juga,” tambah kenyataan Scholes.