Penghijrahan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendapat ucapan ringkas dan penuh bermakna daripada DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Peter Cklamovski diumumkan sebagai pengendali baharu kelab divisyen 4 di England, Salford City pada Khamis selepas mengambil keputusan besar dengan meninggalkan skuad Harimau Malaya yang dibimbing sejak tahun lalu.
Keputusan yang dibuat oleh jurulatih dari Australia itu tampak mengejutkan ramai penyokong bola sepak tempatan ketika mana skuad kebangsaan kini perlu melakukan persiapan rapi menjelang aksi ASEAN Hyundai Cup bulan hadapan.
Di sebalik ucapan tahniah di atas lantikan ini oleh para peminat, terselit doa dan harapan daripada Tunku Ismail supaya Peter Cklamovski berjaya dalam perjalanan baharu beliau di England selepas 18 bulan membantu bola sepak Malaysia.
“Selamat maju jaya, Peter (Cklamovski),” ucap Tunku Ismail di ruangan komen dalam salah satu hantaran oleh Salford City.

Tugasan hebat menanti Peter Cklamovski bersama Salford City pada musim hadapan setelah kelab yang dimiliki oleh David Beckham, Gary Neville dan rakan-rakan ini terlepas peluang untuk naik ke League One apabila tumbang dalam aksi play-off.
Selain Peter Cklamovski, pengendali Malaysia B-23 iaitu Nafuzi Zain turut mengundurkan diri dari jawatannya selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend yang memutuskan untuk menamatkan kontrak atas persetujuan bersama.