Nama Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menjadi sebutan media antarabangsa pada Jumaat.
Terbaharu, kejayaan JDT dikongsikan oleh media bola sepak Eropah, The Football Arena, menerusi laman Facebook rasminya yang mempunyai lebih empat juta pengikut. Perkongsian itu dibuat susulan kejayaan Harimau Selatan mencatat rekod 85 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dalam saingan Liga Super.
Kali terakhir JDT tewas di tempat lawan dalam Liga Super ialah pada 11 Februari 2018 apabila kalah 0-1 kepada Kuala Lumpur. Sejak kekalahan itu, JDT kekal kebal di gelanggang lawan dan tidak pernah tewas dalam mana-mana perlawanan Liga Super.
Lebih membanggakan, laman antarabangsa itu turut membandingkan rekod JDT dengan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG). Kali terakhir PSG tewas dalam aksi liga di tempat lawan ialah pada 22 September 2025 apabila kalah 0-1 kepada Olympique de Marseille di Stade Vélodrome menerusi jaringan awal Nayef Aguerd.
Selepas kekalahan tersebut, PSG mencatat rentetan panjang tanpa kalah dalam aksi Ligue 1 di tempat lawan sehingga berjaya menyamai dan mengatasi beberapa rekod liga.
Namun, rentetan itu akhirnya berakhir pada perlawanan ke-40 apabila PSG tewas 2-1 kepada seteru setempat, Paris FC, di Stade Jean-Bouin, Paris.
Ini bukan kali pertama kisah kejayaan Harimau Selatan menjadi sebutan media antarabangsa. Sebelum ini, Sporting News, beIN Sports dan The Guardian turut menyiarkan kisah pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Nama JDT dijangka terus mencuri perhatian lebih-lebih lagi dengan pasukan itu semakin menghampiri rekod baru untuk rekod tanpa kalah paling lama di dunia dalam saingan liga.
JDT ketika ini masih belum tewas dalam 108 perlawanan. Mereka kini hanya memerlukan kemenangan ke atas Kuching City dalam aksi Piala Sumbangsih 2026-2027 sebelum menewaskan rekod tersebut yang dipegang bersama-sama ASEC Abidjan dari Ivory Coast, (kini dikenali sebagai ASEC Mimosas).
Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan menentang Kuching City dalam aksi pembukaan Liga Malaysia 2026/2027 yang lebih dikenali sebagai Piala Sumbangsih pada Ogos depan di Stadium Sultan Ibrahim.