Tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia bahawa pemain import yang terus mendominasi terutamanya dalam carta penjaring terbanyak liga. Perkara ini terus menjadi tanda tanya bagaimana pemain tempatan untuk terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama pasukan.
Oleh itu, terdapat beberapa suara yang ingin pihak MFL untuk mengharamkan atau pengurangan dalam penggunaan pemain import kerana menyebabkan pemain tempatan tidak mampu menyinar.
Menurut satu kenyataan daripada pemerhati bola sepak Malaysia, Dr Pekan Ramli, beliau menyatakan bahawa kehadiran pemain import perlu dilihat dalam usaha untuk mentransformasikan liga Malaysia ke arah lebih baik seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Dr Pekan Ramli dalam pada itu berpendapat bahawa kehadiran pemain import mampu menjadikan liga itu lebih menarik serta dapat menambah pendapatan dari pelbagai sudut seperti penajaan dan pemasaran.
“Nama pun liga profesional dan kita kena lihat dalam konteks nak memajukan liga. Liga kita mungkin tak ada tarikan kalau tiada pemain seperti Bergson (Da Silva), Ifedayo Olusegun dan Tchetche Kipre.
“Kalau kita gagal nak melahirkan pemain yang baik, memang sampai bila kita akan menghadapi masalah ini. Jadi, kita ambil perkara itu sebagai positif dan jangan balik semula dengan isu nak kurangkan semula pemain import pula oleh kerana kita tak ada penyerang yang bagus.
“Bila ada pemain import yang hebat daripada negara lain, ia menjadikan liga itu lebih berprestij dan akan menjana banyak pendapatan dari segi pemasaran, penajaan dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Pekan percaya bahawa yang paling mustahak adalah kesedaran setiap pasukan dalam membentuk pemain tempatan untuk menjadi lebih berkualiti berbanding pemain import. Contoh sudah ada didepan mata iaitu di Liga Thailand, pemain tempatan di sana lebih mempunyai sikap berdaya saing untuk menutup ruang pemain import persembah aksi terbaik mereka.
“Perkara sama berlaku di England sebelum ini dan mereka mengambil langkah proaktif. Kalau kita tengok juga Thailand, pemain tempatan mereka yang lebih menyerlah dan kita memang nak perkara sama berlaku dalam Liga M.
“Kita sudah liga profesional, sepatutnya isu pemain import ini tidak timbul dan yang penting adalah kesedaran kepada setiap pasukan untuk melahirkan pemain setanding atau lebih baik dari pemain import,”
Tambah Pekan, beliau mempersoalkan apa yang akan terjadi terhadap liga Malaysia jika pemain import tidak boleh digunakan. Baginya, kehadiran pemain import dalam pasukan dapat membantu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi seperti dalam saingan AFC dan ACL.
“Saya sokong sebenarnya kalau tiada pemain import, tapi adakah liga kita akan menarik? Adakah pasukan yang bersaing di peringkat Asia akan bersetuju?
“Mereka bukan akan bersaing di Liga Super saja, mereka akan bersaing di tahap lebih tinggi. Jadi kalau tak ada pemain import bagaimana mereka nak bersaing dengan kelab yang lebih tinggi?