Lebih Ramai Pemain Sabah Dijangka ‘Angkat Kaki’
MakanBola
Sabah FC

Kem Sabah ketika ini sedang berdepan detik sukar apabila difahamkan akan kehilangan lebih ramai pemain gara-gara masalah yang dihadapi pasukan.

Situasi tidak menentu sedang melanda Sabah buat masa ini selepas prestasi pasukan di atas padang mengejutkan para peminat apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam 5 perlawanan.

Keputusan yang jelas mengecewakan ini termasuklah ketika Sabah kalah 3-2 kepada Kelantan The Real Warrior di laman lawan untuk menghuni tangga ke-10 kedudukan carta Liga Super.

Lebih memeritkan, Sabah turut kehilangan dua pemain utama yang memilih bagi memburu cabaran berbeza dengan Daniel Ting kini menyarung jersi Ratchaburi di Thailand selain Stuart Wilkin yang kembali ke JDT.

Masalah prestasi pasukan dan kehilangan tonggak utama ini bukti kukuh bahawa Sabah kini dilanda isu besar apabila ada laporan mengatakan terdapat tunggakan gaji pemain hampir 3 bulan.

Perkara ini didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainak Azam yang memaklumkan prestasi yo-yo Sabah kini disebabkan oleh tunggakan gaji sekaligus menjejaskan aksi pasukan.

Masalah besar membabitkan kebajikan ini turut membuatkan Zulhelmi menjangkakan bakal ada lebih ramai pemain Sabah mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tak lama lagi.

”Tiga gol yang bocor, tiga bulan setengah yang tertunggak,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

“Difahamkan finalis Piala FA itu kini dibelenggu isu tunggakan gaji hampir 3 bulan setengah, dengan lebih ramai pemain dijangka angkat kaki,” tambah beliau lagi.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak Sabah mengenai perkara ini.