Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei bakal menggalas peranan sebagai penasihat badminton untuk negeri Johor.
Perkara ini dikongsikan sendiri DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Insya Allah, Datuk Lee Chong Wei bakal menjadi penasihat badminton Johor,” katanya ringkas.
Baginda turut mendedahkan legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams bukan saja menggalas peranan sebagai penasihat sukan ragbi Johor.
Malah, bekas bintang Toulon itu juga bakal menjadi antara ikon sukan buat negeri Johor.
“Insya Allah, Sonny Bill Williams bukan saja penasihat ragbi tetapi juga sebagai ikon dan duta sukan Johor,” tambahnya.
Tunku Ismail melihat kehadiran ikon sukan seperti Chong Wei dan Williams mampu merancakkan lagi pembangunan sukan negeri Johor.
“Kita ada ramai (ikon sukan). Kita ada Tim Cahill, kita ada Khabib (Nurmagomedov) yang akan buka gimnasium di sini.
“Mereka merupakan ikon dan duta sukan Johor di mana ada banyak program dan pendekatan yang kita akan laksanakan dengan belia negeri Johor,” ujarnya.
Pengumuman ini memperlihatkan kesungguhan Tunku Ismail untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam pelbagai jenis sukan sekaligus mengharumkan nama Johor dan Malaysia amnya.