Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei melihat disiplin sebagai kunci buat beliau kekal konsisten sebagai pemain nombor satu dunia satu ketika dahulu.
Pandangan itu dibuat Chong Wei apabila ditanya rahsia yang membantunya kekal cemerlang di pentas antarabangsa. Malah, aspek itu juga yang ditekankan beliau semasa memikul tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Pertama sekali, saya rasa semua orang tahulah, disiplin.Disiplin. Itu saya rasa pada November tahun lepas, saya masuk pasukan kebangsaan untuk jadi pengerusi jawatankuasa prestasi (BAM).
“Itu saya balik. Pertama sekali, saya cakap dengan (ahli-ahli) jawatankuasa saya, saya kena kendali (aspek) disiplin dulu,” katanya kepada Astro Arena.
Malah, Chong Wei turut menjadikan legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo sebagai contoh terbaik. Beliau melihat disiplin sebagai kunci buat Ronaldo kekal menyerlah untuk jangka masa panjang.
“Jika anda lihat atlet hebat, saya boleh kongsikan itu Cristiano Ronaldo. Umur sampai sekarang, kenapa beliau boleh main dengan banyak senaman. Itu (takkan berlaku tanpa) disiplin.
“Anda boleh tengok (cara) beliau makan, (jaga) nutrisi dan (cara) beliau tidur. Kita cakap itu tahap berbeza kan, itu (takkan terjadi tanpa) disiplin,” tambahnya.
Atas sebab itu, beliau menasihati atlet muda di luar sana untuk fokus menjaga disiplin jika mereka mahu cemerlang di peringkat antarabangsa.