Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendoakan agar bintang pasukan kebangsaan, Faisal Halim cepat sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.
Selepas pemain sayap Selangor FC itu menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu, nama Faisal menjadi bualan ramai.
Ini mendorong ramai pihak terutama figura terkenal dunia sukan dan kelab-kelab terkemuka menyatakan sokongan kepadanya dan mendoakan kesembuhan buat beliau.
Antara yang berbuat demikian ialah legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams, dua pemain Manchester United, Andre Onana dan Alejandro Garnacho serta kelab Borussia Dortmund.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan semalam, Faisal mengakui doa dan sokongan padu yang diberi ramai pihak membantu proses pemulihannya.
Hari ini, giliran Chong Wei pula yang menyatakan kata-kata semangat kepada pemain sayap berusia 26 tahun itu. Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian kepada Faisal dan percaya ada hikmah di sebaliknya.
Chong Wei turut meminta Faisal agar bersabar dengan ujian Tuhan dan memaklumkan bersedia menunggu kepulangannya di atas padang.
“Kekal tabah, Faisal Halim. Apa yang berlaku mesti ada sebabnya. Ada (hikmah) Allah (atas apa yang berlaku). Anda akan kembali lebih kuat (selepas ini)!
“Sabar dan percaya. Fokus pada pemulihan dan kami akan tunggu kepulangan anda (di atas padang), Faisal,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.
Susulan apa yang berlaku ke atas Faisal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu siasatan rapi dilancarkan untuk kes berkenaan.