Perak FC menerima khabar gembira apabila pemain sayap Korea Selatan, Lee Tae-min sudah kembali cergas.
Terdahulu, pemain sayap berusia 21 tahun itu terpaksa berehat selama beberapa bulan pada akhir Julai lalu akibat kecederaan buku lali.
Kecederaan ini mengakibatkan Tae-min terlepas beberapa aksi Liga Super. Ini termasuk dua kemenangan yang diraih The Bos Gaurus ke atas Negeri Sembilan FC dan KL City FC pada 14 dan 21 September lalu.
Penyokong Perak ceria apabila nama bekas pemain sayap Busan IPark itu disenaraikan sebagai pemain simpanan untuk aksi Piala MFL Perak II dan Selangor FC.
Jurulatih Perak II, Chan Wing Hoong kemudiannya memasukkan Tae-min sebagai pemain gantian pada minit ke-59 untuk membantu pasukan itu memburu gol kemenangan.
Beliau hampir meraih gol kemenangan buat Perak II pada minit ke-95. Walau bagaimanapun, penjaga gol gantian Selangor, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal pantas menyekat percubaan Tae-min.
Keadaan ini memastikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata pada akhir perlawanan.
Kemunculan semula Tae-min bakal menambah pilihan buat pengendali Perak, Yusri Che Lah di bahagian serangan.
Selain pemain sayap Korea Selatan itu, Yusri turut memiliki khidmat Clayton, Luka Milunovic, Wan Zack Haikal, Nur Azfar Fikri Azhar dan Alif Zikri Zaini Anuar sebagai pilihan di bahagian berkenaan.
Berita ini juga bakal menambah keyakinan The Bos Gaurus menjelang aksi Liga Super seterusnya menentang Sri Pahang FC di Temerloh pada 28 September.