Advertisement
Lee Tae-min Ucap Selamat Tinggal Kepada Perak
Transfer
MakanBola
Perak FC

Pemain sayap Korea Selatan, Lee Tae-min mengucapkan selamat tinggal kepada Perak FC.

Ini selepas satu video yang dimuat naik pengurusan The Bos Gaurus yang mengucapkan terima kasih kepada beliau sepanjang bersama pasukan itu.

Ini menjadikan aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 30 November lalu sebagai aksi terakhir Tae-min.

Tae-min mengakui bukan mudah untuk meninggalkan Perak kerana beliau telah menimba banyak pengalaman bersama pasukan itu. Atas sebab itu, beliau menghargai sokongan semua pihak terutama penyokong sepanjang bersama The Bos Gaurus.

“Pertama sekali, saya menghargai sokongan semua orang. (Sejak) saya datang ke sini (Perak), saya mendapat banyak pengalaman (berharga bersama pasukan),” katanya.

Bekas pemain Busan IPark itu memastikan aksi terakhirnya bersama Perak berakhir dengan senyuman. Ini selepas Perak mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024/25.

Selepas menewaskan Kelantan DN 3-0 di Stadium MBPJ pada 22 November lalu, Perak meraih kemenangan 3-1 ke atas pelawat. Clayton, Wan Zack Haikal dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin mencetak nama sebagai penjaring.

Kelantan DN meraih gol saguhati menerusi Adam Danial Md Zaid. Tae-min masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan pemain tengah Kyrgyzstan, Adilet Kanyebekov.

Pemain sayap berusia 21 tahun itu merekodkan 11 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketiadaan Tae-min menyaksikan Perak kini memiliki tujuh pemain import iaitu Clayton, Luciano Guaycochea, Sunday Afolabi, Jesper Nyholm, Luiz Fernando Motta, Luka Milunovic dan Kanyebekov.