Perak berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-1 setelah menewaskan Kelantan Darul Naim 3-1 dalam aksi kedua pusingan 16.
Anak buah Yusri Che Lah sebelum ini telah merekodkan kemenangan 3-0 dalam perlawanan pertama bertemu Kelantan DN di Stadium MBPJ.
Perak turun dengan barisan terbaik walaupun meraih agregat selesa sebelum ini dengan barisan pemain seperti Ramadhan Hamid, Shivan Pillay, Wan Zack Haikal, Azfar Fikri serta Clayton Da Silva.
Park Jae-hong pula tampil memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain seperti Ghaffar Rahman, Oday Kharoub, Jasmir Mehat, Fazrul Amir, Michal Jerabek, Umeir Aznan dan Syahir Rashid.
Perak tidak menunggu lama untuk membolosi gawang gol Kelantan DN apabila meraih gol pertama menerusi tandukan Clayton Da Silva pada minit ke-9.
Wan Zack Haikal menggandakan jaringan buat Perak apabila meledak gol kedua pada minit ke-35 permainan. Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat aksi separuh masa pertama di Stadium Manjung.
Memasuki babak kedua, Perak terus mengganas apabila menambah jaringan menerusi Ariff Ar-Rasyid pada minit ke-58.
Kelantan DN cuba untuk bangkit namun gagal membolosi gawang gol Perak yang dijaga rapi oleh Ramadhan Hamid.
Adam Danial akhirnya menamatkan penantian gol Kelantan DN apabila menjaringkan gol pertama pasukan pada minit ke-85.
Perak berjaya menewaskan Kelantan DN dengan jaringan 3-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia untuk melangkah ke suku akhir dengan agregat 6-1.
Perak seterusnya akan bertemu Kedah Darul Aman dalam derbi Utara bagi saingan Liga Super manakala Kelantan DN akan melawan Terengganu pada 4 Disember kelak.