Perak melakar kemenangan pertama dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia apabila berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim dengan jaringan 3-0.
Aksi pertama pusingan 16 tersebut berlangsung di Stadium MBPJ ekoran Stadium Sultan Muhammad IV sedang menjalani kerja-kerja naik taraf sistem perparitan dan longkang sejak Ogos 2024.
Park Jae-hong mempertaruhkan barisan pemain seperti Fikri Che Soh, Ghaffar Rahman, Oday Kharoub, Layth Kharoub, Michal Jerabek serta Hakimi Abdullah dalam kesebelasan utama pasukan.
Yusri Che Lah pula menurunkan nama-nama seperti Shivan Pillay, Sunday Afolabi, Azfar Fikri serta Clayton untuk aksi menentang Kelantan DN.
Perak bermula garang apabila Clayton menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-22 untuk meletakkan Perak dihadapan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan Perak mendahului Kelantan DN dengan kedudukan 1-0 hasil jaringan Clayton.
Bersambung babak kedua, Kelantan DN cuba untuk bangkit menerusi beberapa percubaan namun gagal menerjah gawang gol milik Ramadan Hamid.
Azfar Fikri menambah jaringan buat Perak apabila meledak gol kedua pasukan pada minit ke-81 perlawanan.
Daniel Hakimi melengkapkan kemenangan bergaya Perak menerusi jaringan ketiga hasil sepakan penalti pada masa tambahan perlawanan.
Tiupan wisel penamat menyaksikan Perak menewaskan Kelantan DN dengan jaringan 3-0 bagi aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia.
Perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia antara Perak dan Kelantan Darul Naim bakal berlangsung pada 30 November ini dengan Perak memiliki kelebihan 3 gol ke atas Kelantan DN.