Advertisement
Kelantan DN Dijangka Kembali Ke SSMIV Januari 2025
Liga Super
MakanBola
Kelantan Darul Naim

Kelantan Darul Naim dijangka kembali menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) sebagai gelanggang keramat bermula Januari 2025.

Sebelum ini, SSMIV menjalani kerja-kerja naik taraf sistem perparitan dan longkang bermula sejak Ogos 2024, setelah Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan khusus untuk projek tersebut.

Ini sekaligus memaksa Kelantan DN menggunakan venue di luar negeri sebagai gelanggang tuan rumah bagi meneruskan baki saingan Liga Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

Satu berita gembira buat para penyokong Kelantan DN telah diumumkan menerusi kenyataan oleh pihak kelab berkenaan penggunaan SSMIV yang bakal kembali digunakan bermula Januari tahun hadapan.

“Seperti dinyatakan oleh YB Zamakhshari, Stadium Sultan Muhammad IV dijangka kembali beroperasi sepenuhnya untuk semua aktiviti sukan bermula Januari 2025,” umum Kelantan DN dalam satu kenyataan.

“Ini akan membuka lembaran baharu untuk bola sepak di Kelantan, khususnya pasukan Kelantan Darul Naim FC yang menjadikan stadium ini sebagai gelanggang rasmi mereka.”

Untuk rekod, kali terakhir Kelantan DN beraksi di SSMIV pada Julai lalu ketika melayani kunjungan Perak dalam perlawanan Liga Super yang berakhir dengan kekalahan 1-3 buat tuan rumah.

Sejak itu, skuad Kijang Emas menggunakan Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Cheras dan Stadium Temerloh dalam tiga perlawanan tuan rumah ketika berdepan JDT, KL City dan Sri Pahang.

Untuk aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia, Kelantan DN memilih Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai venue alternatif untuk berdepan Perak pada Jumaat, 22 November hadapan.