Lee Tuck Bangga Dapat Sumbang Sesuatu Untuk Malaysia

LEE TUCK 7 Lee Tuck Bangga Dapat Sumbang Sesuatu Untuk Malaysia
Haziq / MakanBola
Nabil Fahmi @nabilfamy
4:57pm 17/06/2023

Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck merupakan antara pemain yang menyerlah dalam kemenangan Malaysia ke atas Kepulauan Solomon tempoh hari. Walaupun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama, namun Lee Tuck berjaya mempamerkan aksi memukau selepas dimasukkan.

Dalam aksi persahabatan itu, Lee Tuck berjaya meledak satu jaringan selain menyumbang satu bantuan gol. Gol yang dihasilkan Lee Tuck itu merupakan gol ketiga beliau bersama skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa. Manakala bantuan gol yang dicipta Lee Tuck dapat disudahkan dengan baik oleh Safawi Rasid.

Dalam satu muatnaik di laman instagram Lee Tuck, pemain kelahiran England mengungkapkan rasa bangga selepas dapat membantu Malaysia mencipta kemenangan ke atas Kepulauan Solomon.

“Satu gol dan satu bantuan gol. Tiada perasaan yang lebih baik daripada melakukannya untuk pasukan kebangsaan Malaysia!,” luah Lee Tuck di instagram beliau.

Untuk rekod, Lee Tuck merupakan nadi utama skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini. Beliau sudah meledak empat jaringan dan mencipta tujuh bantuan gol bersama Kedah. Jadi, tidak hairanlah beliau dipanggil ke kem skuad kebangsaan kali ini.

Diharapkan momentum cemerlang Lee Tuck di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dikekalkan agar dapat terus membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan dalam perlawanan-perlawanan mendatang.